16 Disember 2014 - 16:50
Pengganas Taliban serang sekolah, 132 terbunuh

Pengganas Taliban menyerang sebuah sekolah sebagai tindakan membalas dendam terhadap operasi tentera yang membunuh ratusan anggotanya.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Pengganas Taliban menyerang sebuah sekolah di Peshawar sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 132 orang terbunuh menakala lebih 200 cedera.

Pegawai Pakistan berkata, serangan berakhir dengan kematian semua tujuh penyerang yang terlibat dalam kes ini.

Sebilangan mangsa yang terselamat sedang dirawat di hospital di mana ibu bapa dan waris kelihatan panik mencari anak-anak mereka.

Perkarangan hospital dipenuhi masyarakat yang berdukacita sambil mengusung jenazah keluar dengan keranda.

Jurucakap Taliban berkata kepada BBC, sekolah tersebut dibiayai oleh tentera dan dijadikan sasaran sebagai membalas dendam terhadap operasi ketenteraan terhadap kumpulan mereka.

Ratusan anggota Taliban dipercayai terbunuh dalam operasi tentera di Waziristan dan kawasan berhampiran dengan Khyber.

Sekolah di Peshawar tersebut kini berada dalam kawalan ketat anggota keselamatan. Sementara itu jurucakap Kementerian Luar Iran, Mardhiye Afkham telah mengeluarkan kenyataan mengecam keras serangan yang meragut puluhan nyawa tersebut.

Sambil melahirkan rasa simpati bangsa Iran terhadap rakyat Pakistan, terutama sekali keluarga korban, beliau berkata, "Tindakan ini benar-benar tidak Islamik, tidak berperi kemanusiaan dan terrorisme. Para ekstremis dikecam kerana menumpahkan darah insan yang tidak berdosa walau apa jua matlamatnya.

Afkham juga menegaskan betapa pentingnya kestabilan dan keamanan negara jiran itu. Beliau menganggap perang menghadapi pengganas, ekstremisme, pengukuhan solidariti, perpaduan seluruh kaum dan mazhab di Pakistan amat penting bagi menghentikan kekejaman dan pelampau.